Malaysia Variety

Berita Sana-Sini Malaysia Dan Dunia

Ditemui selepas lima hari dikurung


Kuala Lumpur: Seorang lelaki mangsa culik berjaya diselamatkan polis selepas lima hari dikurung dan didera di sebuah rumah di Jalan Pahang, di sini. 

Mangsa berusia 23 tahun itu diselamatkan dalam serbuan dilancarkan polis di sebuah restoran di Setapak, kelmarin. Beliau dikatakan diculik 6 Ogos lalu sebelum penculik menghubungi adik tirinya dan meminta wang tebusan RM3,000. 

Suspek yang turut mengugut memotong tangan mangsa jika wang tebusan tidak dibayar, mendakwa mangsa berhutang dengannya enam bulan lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata dalam perbualan itu, adik tiri mangsa meminta berjumpa dengan suspek dan abangnya sebelum membuat pembayaran. 

“Suspek bersetuju dan mahu berjumpa di sebuah restoran di Setapak, semalam (kelmarin). Sebelum perjumpaan itu, adik dan ahli keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak. Pada masa ditetapkan, polis melancarkan serbuan di restoran terbabit dan berjaya menahan tiga suspek berusia 22 hingga 31 tahun. 

Kesan torehan pisau 

“Mangsa juga berjaya diselamatkan dan ketika itu, beliau dalam keadaan menggigil ketakutan dengan tangan kanannya ada kesan ditoreh dengan pisau, manakala secebis daging di jari kaki kanannya turut dipotong,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Susulan itu, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pahang, iaitu lokasi mangsa dikurung sebelum polis memberkas dua lagi suspek berusia 22 dan 28 tahun.- Bharian
0 Komentar untuk "Ditemui selepas lima hari dikurung"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info