Malaysia Variety

Berita Sana-Sini Malaysia Dan Dunia

‘Saya Terkilan Tidak Berada Di Sisi Arwah Saat Dia Meninggal ’ – Penjaga Gol JDT

JOHOR BAHRU – “Saya terkilan kerana tidak berada di sisi arwah pada saat dia menghembuskan nafas terakhirnya,” kata penjaga gol utama pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) Muhammad Al Hafiz Hamzah di atas pemergian anaknya yang berusia dua tahun, Adam Farish.
Adam Farish disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, jam 4.16 pagi semalam selepas dilaporkan dalam keadaan kritikal sejak kelmarin.
Muhammad Al Hafiz membuat persediaan untuk perlawanan kedua menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan tiba di rumah saudaranya di Kampung Bakar Batu, jam 12.30 tengah hari semalam sebelum terus menatap wajah arwah anak lelakinya.
Walaupun sedih dengan kehilangan itu, Muhammad Al Hafiz kelihatan tenang, malah dia membantu memandi serta mengkafankan dan bersama-sama ahli keluarga lain untuk menyembahyangkan jenazah Adam Farish di Surau Al Mubarak Kampung Bakar Batu selepas solat Zuhur.
Isterinya, Fatihah Nur Fadzil, 24, berkata, sebelum bertolak ke Kelantan, Muhammad Al-Hafiz sempat meluangkan masa bersama anak mereka yang mendapatkan rawatan di wad HSA.
Ketika itu, arwah kelihatan ceria dan tidak menunjukkan tanda sakit.
“Seperti biasa, suami menayangkan video kegemarannya. Bagaimanapun, jam 10 pagi kelmarin, arwah tiba-tiba lemah dan badannya bertukar kebiruan, menyebabkan dia dipindahkan ke ICU.
“Arwah juga menggunakan alat bantuan pernafasan. Bagaimanapun, usaha itu tidak banyak membantu kerana Adam Farish semakin lemah sebelum doktor mengesahkan dia meninggal dunia,” katanya.
Fatihah yang ditemui di HSA berkata, dia reda dengan pemergian Adam Farish berikutan sejak lahir, kanak-kanak berkenaan disahkan doktor mempunyai masalah kesihatan.
Baginya, dia tetap bersyukur kerana dapat menjaga anaknya untuk dua tahun walaupun doktor memaklumkan Adam Farish hanya mempunyai masa dua minggu untuk hidup selepas dilahirkan kerana masalah kesihatannya.
Jenazah Adam Farish dibawa pulang ke kampung Fatihah di Pantai Johor, Alor Setar, Kedah untuk dikebumikan, petang semalam.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Mohd Fahmy Yahya berkata, seluruh warga PBNJ mengucapkan takziah kepada Muhammad Al Hafiz di atas pemergian anak tersayang. – myMetro Ahad
0 Komentar untuk "‘Saya Terkilan Tidak Berada Di Sisi Arwah Saat Dia Meninggal ’ – Penjaga Gol JDT"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info