Malaysia Variety

Berita Sana-Sini Malaysia Dan Dunia

Sana-Sini Gempak : Ugut terjun bersama bayi

PUCHONG - Akibat tertekan kerana suami mahu menceraikannya, seorang wanita berusia 35 tahun cuba bertindak terjun dari bahagian bumbung sebuah hotel tiga tingkat di Bandar Bukit Puchong bersama bayinya berusia setahun, semalam.

Bagaimanapun tindakan pantas seorang anggota polis menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat berjaya menghalang niat wanita warga China itu.

Ketua Operasi Menyelamat, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Sehat Bedol berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam dan disedari seorang anggota polis dari Balai Polis Bukit Puchong, Sarjan Tay Bung Him yang kebetulan berada di hotel berkenaan.


Menurutnya, Bung Him terlihat wanita itu sedang mendukung anaknya di bumbung hotel dalam keadaan murung lantas segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Puchong kira-kira jam 9.08 pagi.

"Pihak kami tiba di tempat kejadian kira-kira jam 9.16 pagi bersama sembilan anggota.

"Namun sebaik sahaja sampai, wanita itu bertindak agresif dan mengugut dalam bahasa Cina untuk terjun bersama-sama anaknya sekiranya pihak berkuasa cuba mendekati," katanya.

Bimbang jika wanita itu bertindak luar kawalan, pihak bomba bersedia dari jauh manakala Bung Him berusaha memujuknya.

"Selain ada anggota bomba yang turut bersedia di bawah bangunan, kami turut minta pihak hotel menyediakan tilam dan kanvas di bawah jika wanita itu terjun,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, Bung Him berjaya menenangkan wanita itu setelah 45 minit berbual dengannya.

Sehat berkata, dua anggota bomba kemudian memimpin wanita itu turun dan dia dibawa ke Balai Polis Bukit Puchong untuk siasatan lanjut.

-Sinar Harin Online
0 Komentar untuk "Sana-Sini Gempak : Ugut terjun bersama bayi"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info