KUALA LUMPUR - Pelumba Kejuaraan Motosikal Super Siri Malaysia (MSS) 2013, Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini, lima hari selepas terbabit dalam kemalangan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Ketua Polis Daerah Sepang, Superitendan Imran Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama berkata, pelumba berusia 17 tahun itu meninggalkan dunia pada pukul 1 tengah hari akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Dalam insiden Sabtu lepas, Muhammad Izzat, yang beraksi dalam kelas 250cc, dipercayai gagal mengawal jenteranya di laluan lurus sebelum terbabas dan melanggar marsyal perlumbaan S. Satish, 44, pada pukul 12.30 tengah hari sebelum berakhirnya sesi latihan.
Satish meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada hari yang sama selepas mengalami kecederaan serius di kepala manakala Muhammad Izzat, yang turut mengalami kecederaan parah, dihantar ke HKL.
Berikutan kemalangan itu, perlumbaan pusingan keempat MSS 2013 ditangguhkan. - Bernama
1 Komentar untuk "Pelumba Kejuaraan Motosikal Super Siri Malaysia Meninggal Dunia "
'meninggalkan dunia'?